Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

5 JULAI 2025M - MAJLIS PENUTUP PROGRAM PENDEDAHAN BELIA KALI KE 10

Hari Sabtu,5 Julai 2025 - Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan (2).jpg

Hari Sabtu,5 Julai 2025

 Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah mengadakan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi Program Pendedahan Belia-Belia yang Berpotensi untuk Menceburi Bidang Pertanian Berteknologi Tinggi Kali Ke-10, bertempat di Pusat Perkhidmatan dan Latihan Lepas Tuai, Pejabat Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Tungku, Daerah Brunei Muara.

Program selama sembilan hari yang berlangsung dari Hari Isnin, 23 Jun hingga Hari Sabtu, 5 Julai 2025 ini telah disertai oleh 17 peserta daripada kalangan belia sektor swasta, akademik dan individu persendirian yang berpotensi menceburi bidang pertanian moden. Program ini merupakan inisiatif Kementerian dalam menggalakkan penyertaan belia dalam sektor pertanian, khususnya dalam bidang pertanian berasaskan teknologi tinggi.

Majlis penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat, Yang Mulia Abuzar bin Haji Mohd Tahir, Pemangku Pengarah Pertanian dan Agrimakanan. Turut hadir ke majlis, Ketua-Ketua Bahagian serta pegawai dan kakitangan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Para peserta program ini telah diberikan pendedahan kepada beberapa sesi taklimat yang merangkumi topik-topik termasuk peluang pelaburan dalam pertanian, teknologi hidroponik dan fertigasi, kawalan penyakit dan musuh perosak tanaman, proses permohonan tapak pertanian, serta pendaftaran perniagaan. Selain daripada itu penempatan-penempatan di ladang-ladang terpilih juga diselitkan sebagai salah satu pendedahan yang dapat memberikan latihan secara “hands-on” kepada para peserta. Turut terlibat ialah agensi-agensi seperti Bahagian Biosekuriti dan Akses Pasaran (BIOSMA), Bahagian Pendaftaran Syarikat-Syarikat dan Nama-Nama Perniagaan (ROCBN) Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Persatuan Peladang Pertanian Brunei (PPPB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Bank Usahawan, Brunei Economic Development Board (BEDB), KN Nursery dan Akmal Asmaan Agriculture Farm. Antara lokasi ladang penempatan ialah Hua Ho Agricultural Farm, Harvest Moon Trading, Akmal Asmaan Agriculture Farm, Gropoint Sdn Bhd, Food United, dan Natural Healing Enterprise.

Hari Sabtu,5 Julai 2025 - Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan (2).jpg

Attachments